MENGHIAS ruang kosong dalam kediaman bukan terhad kepada kerusi, meja dan sofa sahaja. Pemilihan langsir daripada fabrik cantik dengan warna yang menarik juga adalah elemen yang perlu dititikberatkan oleh penghuninya.

Gabungan warna langsir yang sepadan dan sesuai dengan ruang dalam rumah mampu menaikkan seri serta menarik perhatian mata yang memandang.

Penggunaan langsir juga selain pelindung daripada cahaya matahari, ia juga berfungsi menambah seri ruang dalaman jika kena corak, warna dan gayanya

Pemilihan kain juga pelbagai iaitu kapas, campuran kapas-poliester, satin-kapas, sheer dan renda dan organza.

 

Fabrik bertekstur berharga mahal seperti jacquard dan broked pula lebih sesuai dijadikan langsir gaya tabir, manakala fabrik jenis licin padan untuk sebarang gaya.

Fabrik sheer, organza dan renda lebih sesuai dijadikan langsir siang kerana bersifat nipis dan tidak telus sinar berbanding renda bersifat telus cahaya.

Justeru, ramai menggunakan fabrik ini bagi tujuan perlindungan jika tidak mahu pergerakan di lihat dari luar.

Pelbagai corak rekaan dan padanan warna yang memikat hati boleh dipilih untuk menjadi warna tema dalam ruang kediaman anda.

Pemilihan warna turut mempengaruhi suasana dan mood di dalam rumah.

Ai Curtains yang di usahakan oleh pasangan suami dan isteri, Aida Haswani Abu Hassan dan suaminya, Azhar Ibrahim, memperkenalkan rekaan terbaru mereka yang menggunakan warna biru turqois muda digabungkan dengan pink sebagai warna blok untuk kediaman pelanggan mereka.

Rekaan langsir pada tahun ini menekankan ciri moden dan moden kontemporari. Pemilihan warna biru firus sebagai warna tema yang dipadankan dengan kombinasi warna menarik menjadikan ruang rumah nampak lebih besar dan ceria.

Penggunaan warna blok yang dipadankan dalam dua atau tiga tona ceria seperti merah jambu dengan biru lembut ditambah dengan elemen lain seperti lampu meja dan hiasan pasu bunga melengkapkan lagi gaya moden.

Bagi menaikkan seri warna dan corak pada langsir dengan dinding, pelanggan kini lebih gemar menggunakan kertas dinding yang diyakini lebih menarik dan ceria untuk hiasan rumah.

Ai Curtains juga menawarkan pelbagai jenis kertas dinding pelbagai warna dan corak yang sesuai dipadankan dengan warna langsir. Elemen dan corak di kertas dinding sangat mudah diaplikasi dan disuai padan dengan warna pilihan menyebabkan ia mula menjadi kegilaan kepada sebahagian individu masa kini.

Selain warna langsir yang menarik, tambahan aksesori seperti lampu meja, hiasan pasu bunga dan hamparan karpet turut menjadikan ruang tamu kediaman anda nampak menarik dan ceria.

Ai Curtains yang membekalkan lebih daripada 100 jenis corak fabrik langsir, turut menyediakan khidmat jahitan langsir pelbagai corak, mereka gaya langsir, pemasangan kertas dinding serta khidmat rundingan pemilihan fabrik untuk ruang kediaman pelanggan.